Tuesday 24 January 2012

.:: Kuning - Selamat Datang 2012 ::.

.:: Salam ~ Kuning: Selamat Datang 2012 ::.

Agak lama saya tidak menukilkan sebarang entri di laman blog ini. Kekangan masa dan beberapa kekangan lain menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk mencoretkan sesuatu di sini. Maaf di pinta.

2012 akhirnya menjelma tiba. Tidak terlewat untuk saya mengucapkan "SELAMAT TAHUN BARU 2012" buat semua. Saya doakan agar kalian beroleh kejayaan dan kebahagiaan yang berlipat kali ganda pada tahun ini, Insya-Allah (sama-samalah kita berdoa).

Cukup buat sementara entri kali ini. Sampai di sini dahulu tinta kata saya. Insya-Allah, dilain kesempatan akan saya tulis sesuatu yang baru buat tatapan anda.

**Moga tahun baru ini, kalian semua beroleh sesuatu yang bermanfaat dalam hidup ini. Tinggalkan kejahatan, beralih kepada kebaikan. Marilah kita sama-sama mencari Nur di dalam kehidupan ini.

Wednesday 23 November 2011

.:: Hijau - Hanya DIA Yang Tahu ::.

.:: Salam ~ Hijau: Hanya DIA yang tahu ::.

Cuba anda beritahu saya, siapakah manusia yang tidak pernah diberi ujian dan dugaan? Ada ke? Jawapan yang pasti adalah, TIADA!

Selagi mata belum tertutup rapat, selama mana kita masih dapat bernafas, maka selagi itulah dugaan dan ujian takkan pernah putus-putus datang kepada kita. Betul kan? Hmm...

Dan semua ujian dan dugaan itu datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Apabila ia datang menguji kita, maka kita sebenarnya mampu untuk menghadapinya.

Adakala pengakhiran dugaan itu adalah sepertimana yang kita inginkan. Adakala pula, tidak seperti yang diharapkan.

Hanya DIA yang tahu segalanya. Tapi kita sebagai hamba-NYA masih boleh melakukan sesuatu sebelum kita tahu pengakhiran dugaan tersebut.

Bagaimana?

Yang pertama, jangan sesekali kita marah apabila sedikit ujian datang kepada kita. Tak perlu marah sebab setiap manusia yang hidup pasti akan tetap diuji.

Yang kedua, andai ujian itu datang dan ia melibatkan seseorang dalam hidup kita, maka ambillah masa dan berbincang. Cari penyelesaian terbaik agak tidak ada mana-mana pihak yang akan terluka ataupun rasa kecewa.

Yang ketiga, jangan putus harapan. Teruslah berdoa, yakinlah bahawa DIA pasti membantu kita.

Yang keempat, sabar. Apapun yang kita harus lalui, ia perlukan kesabaran. Ganjaran bagi orang yang sabar adalah syurga dan Insya-Allah, kesabaran kita itu berbaloi. SABAR...

Hanya DIA yang tahu segalanya...

Ujian juga satu cara DIA membantu kita menghapuskan dosa-dosa kecil kita dan ujian juga satu cara DIA mengingatkan kita manusia yang seringkali lupa pada penciptanya.

** Saya harap pengakhiran dugaan yang diberi-NYA kepada saya adalah pengakhiran yang membahagiakan, Insya-Allah. **

Wednesday 16 November 2011

.:: Biru - Doakan Saya ::.

.:: Salam ~ Biru: Doakan Saya ::.

Esok, Insya-Allah saya akan hadir untuk temuduga kerja dan ini merupakan temuduga kerja yang kedua buat saya. Rasanya saya tidak berjaya dalam temuduga yang pertama yang telah berlaku dalam bulan Julai yang lalu. Tidak mengapa, teruskan usaha. Rezeki ada dimana-mana. Jangan putus asa. Walau tiada siapa yang memberi sokongan dan semangat, cukuplah diri sendiri ini yang rasa kuat dan yakin serta mampu untuk menghadapi hari esok.

Walaupun jawatan yang ditawarkan tidaklah setinggi atau sehebat mana, tapi saya sangat bersyukur diberi peluang ini.

Bagi yang membaca entri saya ini, saya mohon agar anda mendoakan agar segalanya dipermudahkan buat saya sepanjang temuduga esok dan doakan juga agar saya dapat kerja ini.

Terima kasih atas doa-doa anda buat saya.

Amin.....

Monday 14 November 2011

.:: Indigo - Kacang Lupakan Kulit ::.

.:: Salam ~ Indigo: Kacang Lupakan Kulit ::.

Agak lama juga saya tidak menulis sebarang entri baru di laman blog ini. Banyak urusan lain yang perlu diuruskan.

Tentu anda biasa mendengar perumpamaan ini: 'KACANG LUPAKAN KULIT'.

Sebelum itu, saya mohon maaf banyak-banyak. Entri saya ini saya tulis secara umum dan tidak ada kaitannya dengan sesiapa. Andai ada yang terasa hati dengan entri saya ini, saya mohon seribu kemaafan. Niat saya hanya ingin berkongsi pengalaman dan suka duka kehidupan manusia sahaja.

Tanyalah siapa saja, saya pasti setiap orang mampu menjelaskan apa makna perumpamaan ini. Mudah difahami.

Kacang lupakan kulit maksudnya, seseorang itu lupa jasa dan pengorbanan yang orang lain telah lakukan untuk dirinya. Pendek kata, tidak menghargai jasa orang lain terhadap dirinya. (Andai ada maksud yang lebih tepat lagi, bantu saya betulkannya, ya)

Sepanjang hidup saya ini yang baru mahu melihat dunia sebenar, pelbagai ragam manusia saya temui dan sepanjang itu juga saya telah temui ramai manusia yang boleh saya kategorikan sebagai 'Kacang Lupakan Kulit'.

Bukan niat saya untuk mengungkit segala apa yang telah saya dan keluarga saya lakukan untuk mereka, cuma rasa terkilan dan sedih apabila mengenang kembali semua itu. Mungkin memang itulah sifat semulajadi manusia. Apabila mereka dalam kesusahan, kita dicari. Apabila senang, kita dilupai.

Entahlah, kadang-kadang saya penat melayan kerenah manusia. Ada juga kadang-kadang saya rasa tak mahu lagi berbuat jasa pada insan lain. Saya penat. Tapi tak sampai hati melihat orang lain dalam kesusahan.

Pesan ayahanda saya, berbuat terhadap orang lain tak perlu mengharap balasan daripada mereka. Andai mereka lupa jasa-jasa kita, biarkanlah mereka. Itu hari mereka, bila badai menghempas pantai kehidupan mereka sekali lagi, mereka akan sedar dan kembali mencari kita.

Buat baik, balasannya baik. Tapi buat baik dengan niat yang baik dan hati yang ikhlas, Insya-Allah beroleh balasan yang baik dan lebih baik dari-NYA.

Andai yang membaca entri saya ini berasakan diri mereka ibarat seperti pepatah ini, nasihat saya agar anda kembali berpijak di bumi yang nyata. Kita ini bukan sesiapa. Hanya manusia kerdil yang menumpang sementara di bumi milik Yang Maha Agung. Berbuat baiklah sesama manusia.

Andai perbuatan baik anda tidak dihargainya, cukuplah anda katakan pada diri anda sendiri, "Tuhan itu Maha Kaya. Yang berhak memberi segalanya, hanya DIA". Reda dan ikhlaskan hati anda.

Maaf sekali lagi andai anda kecil hati atau terluka dengan kata-kata dalam entri saya kali ini.

Saturday 29 October 2011

.:: Ungu - Kenapa? Kerana... ::.

.:: Salam ~ Ungu: Kenapa? Kerana... ::.

Akhirnya, lengkap sudah 7 warna pelangi untuk entri-entri terawal dalam blog saya ini, Alhamdulillah.

Hmm.. Entri saya kali ini ingin saya jelaskan kenapa dan mengapa saya telah menyahaktifkan (deactivate) laman sosial milik saya. Ada beberapa sebab yang harus saya jelaskan di sini agar teman-teman saya dapat memahami kenapa dan mengapa harus saya menyahaktifkan laman sosial saya.

Saya faham dan saya cukup mengerti, dunia IT kini tiada sempadannya. Dunia maya yang menghubungkan jutaan manusia dari seluruh pelosok dunia tanpa mengira bangsa, warna kulit, pegangan agama dan sebagainya. Tidak saya nafikan bahawa laman sesawang sosial atau social networking sites punya kelebihan dan impak positifnya.

Ia menghubungkan yang jauh dan mencipta jaringan baru secara alam maya. Pelbagai idea, isu dan sebagainya dapat dikongsikan di laman sosial. Saya fikir tidak perlu saya senaraikan semua laman sosial yang wujud masa kini kerana saya yakin dan percaya, anda lebih mengetahuinya.

Namun begitu, ada juga keburukan dan impak negatifnya. Bagi saya kesan negatifnya berbeza untuk setiap individu.

Sebab pertama mengapa saya telah menyahaktifkan laman sosial saya kerana, saya tidak mahu lagi ada fitnah dunia yang terlalu menguji kesabaran saya. Fitnah dunia yang pelbagai, yang kadangkala terlalu menyeksa jiwa. Cukuplah dengan apa yang pernah saya lalui sebelum ini. Saya tidak ingin kejadian buruk dan sejarah hitam berulang kembali.

Yang keduanya, terlalu banyak keburukan dan sengketa yang saya peroleh melalui laman sosial. Saya tidak ingin sengketa terjadi lagi. Cukup dengan apa yang telah berlaku.

Yang ketiganya pula, ada hati yang perlu saya jaga dan pelihara. Saya berusaha menjaga hatinya sebaik mungkin kerana saya tidak ingin melukainya buat sekian kali. Terlalu banyak luka yang pernah saya toreh dalam hatinya, Cukuplah! Saya cuma inginkan yang terbaik buat kami dan buat dirinya. Saya ingin bina rasa percaya diri sepenuhnya untuk saya, untuk dia dan untuk kami. Yang penting, rasa bahagia wujud antara kami dan saya kini lebih yakin dan lebih mempercayainya.

Yang keempat, saya bosan dengan segala macam kerenah manusia di dalam laman sosial. Saya tidak mahu menjadi umpat keji manusia lain. Saya inginkan kebaikan dan saya percaya menyahaktif laman sosial milik saya adalah jalan terbaik.

Kelima, hmm..apa ya??? Cukuplah 4 sebab saya nyatakan dan jelaskan di sini. Sebab-sebab lain biarlah hanya saya yang mengetahuinya.

Saya masih tetap boleh berkomunikasi dan berinteraksi dengan teman-teman saya walaupun tanpa laman sosial. Dunia di hujung jari. Guna telefon bimbit, emel juga masih boleh berhubung.

Buat teman-teman, bukan saya menyepi diri. Saya masih bernafas hingga saat ini. Kalian masih tetap saya ingati.

Laman blog ini mungkin boleh menghubungkan kembali persahabatan saya dan teman-teman lama.

Saya mohon ribuan kemaafan andai tinta saya kali ini mengundang luka dan kecil hati di hati sesiapa yang membacanya. Maaf saya pinta, bukan niat di hati untuk memburukkan sesiapa. Saya juga bukan anti-sosial. Cuma saya fikir ini jalan terbaik yang saya buat. Sahabat-sahabat dan teman hati saya tetap istimewa selamanya buat saya.

Maaf sekali lagi...

Mungkin suatu hari nanti saya akan mengaktifkan kembali laman sosial saya. Tengoklah macam mana. Andai ia perlu demi tuntutan kerja saya kelak, mungkin kalian akan ketemu saya semula di alam maya atau mungkin juga tidak...

Seribu kemaafan saya pohon...

Thursday 27 October 2011

.:: Indigo - Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-75, Sidang Ke-10 ::.

.:: Salam ~ Indigo: Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-75, Sidang Ke-10 ::.

Hari ini, 27 Oktober 2011 (Khamis) adalah hari istimewa dan sangat bersejarah dalam hidup saya. Hari saya dan rakan-rakan seperjuangan menikmati hasil kejayaan kami selama 2 tahun ini. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Saya sangat bersyukur kepada-NYA kerana memanjangkan usia saya hingga saat ini dan dengan izin-NYA jua, saya berkesempatan hadir ke majlis istimewa ini.

Saya sangat teruja, gembira hingga saya sendiri sukar untuk menggambarkan rasa kegembiraan itu. Majlis yang berlangsung penuh adat istiadat ini berlangsung seawal jam 7.30 pagi dan berakhir jam 12.00 tengahari.

Majlis konvokesyen yang membuatkan hati saya rasa sangat bangga menjadi sebahagian daripada 'keluarga besar' UiTM. Saya antara orang-orang yang dipilih oleh-NYA untuk hadir ke majlis ini. Tentunya rasa bangga memenuhi ruang dada saya. Sayu juga hati ini apabila mengenangkan kembali kepayahan, susah senang yang saya dan rakan-rakan lalui selama 2 tahun ini. Usaha kami akhirnya membuahkan hasilnya. Saya telah berusaha keras untuk kejayaan hari ini. Walaupun apa yang saya peroleh bukanlah seperti apa yang saya inginkan, tetapi saya bersyukur kerana saya berjaya tamatkan pelajaran saya.

Buat teman-teman yang berjaya memperoleh apa yang diimpikan, TAHNIAH buat kalian. Doa saya buat kalian agar kalian terus sukses di masa akan datang. Yang kurang berjaya, jangan gusar, jangan bimbang. Percaya pada qada' dan qadar-NYA. Rezeki anda ada di mana-mana. Teruskan usaha, Insya-Allah, suatu hari nanti anda pasti menjadi orang-orang yang hebat.

Kejayaan tidak semestinya diukur dengan nilai CGPA yang anda peroleh, kejayaan boleh diperoleh dalam pelbagai bentuk. Ia berbeza bagi setiap insan. Apabila anda memperoleh sesuatu atas usaha anda sendiri, ia sebenarnya kejayaan buat anda. Yang penting, bersyukur dengan apa yang diperoleh. Mungkin di masa akan datang, ada kejayaan di luar dugaan yang mungkin diperoleh.

Berbalik kepada majlis gilang-gemilang ini, lebih kurang 1,000 graduan diploma dan ijazah sarjana muda dianugerahkan diploma dan ijazah masing-masing. Sidang ke-10 menyaksikan graduan dari 3 buah fakulti memperoleh diploma dan ijazah masing-masing, terdiri daripada Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan dan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi. Meriah, menarik!

Untuk sidang kali ini, semua diploma dan ijazah telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad, Pro Canselor UiTM. 

Majlis ini sangat istimewa kerana ia berlangsung pada tarikh yang sama sewaktu saya memperoleh diploma saya 2 tahun yang lalu. Bezanya cuma, 2 tahun lalu tarikh 27 Oktober 2009 merupakan sidang terakhir konvokesyen UiTM Ke-71 dan kali ini tarikh yang sama tetapi antara sidang terawal. Ia juga majlis yang sangat istimewa buat saya kerana seseorang yang sangat istimewa dalam hati ini hadir sama menyaksikan saya memperoleh ijazah.

Saya sangat gembira, hajat saya ditunaikan. Alhamdulillah! Terima kasih juga buat insan istimewa tersebut kerana sudi hadir berkongsi kegembiraan bersama saya. Saya akan sentiasa doakan kejayaan buat anda dan Insya-Allah, jika masih dipanjangkan usia saya, saya pasti akan hadir ke majlis konvokesyen anda pula.

Terima kasih juga buat 2 insan istimewa yang membesarkan saya dan mencurahkan segalanya untuk saya. Ibu dan ayah saya. Terima kasih ibu, terima kasih ayah!

Terima kasih teman-teman. Kalian rakan-rakan hebat yang pernah saya miliki. Terima kasih kerana sama-sama berjuang dengan saya. Moga kita dipertemukan lagi suatu hari nanti, Insya-Allah.

Buat tatapan anda, sedikit memori yang sempat saya rakamkan bersama teman-teman...

 
>>Bonda dan ayahanda saya<<

>>Teman saya, Syamimi<<

>>Teman-teman seperjuangan saya, (dari kiri: Azimah, Yaya, Azila, Saya, Mera & Syamimi)<<

>>Lagi teman-teman saya, Adila berkaca mata<<




>>Syamimi, saya & Mera<<

>>Tambahan, Sabrina di sebelah kiri Syamimi dan Zaharah di sebelah kiri Yaya<<


>>Teman IS Muzium Negara saya, Amy<<


>>Lagi teman sekuliah saya, Farhana @ Pa'an<<


>>Konon-kononnya bunga tu Mera beri kepada Yaya dan Syamimi, hakikatnya bunga itu milik Mera... hehehe<<


Hari yang indah dan penuh bermakna buat saya dan teman-teman. Moga kita akan bertemu lagi, Insya-Allah. Saya sayang kalian. Terima kasih untuk segalanya yang kita lalui bersama.

Monday 24 October 2011

.:: Biru - Yang Hidup ::.

.:: Salam ~ Biru: Yang Hidup ::.

Yang hidup? Apa dia? Kenapa tajuk entri saya ini terlalu ringkas dan sedikit mengelirukan? Mudah saja. Yang hidup, yang bernyawa, yang bernafas, yang bergerak seiring, seirama bersama kita. Bukan hanya manusia saja yang menjadi penghuni alam ini, malah haiwan, tumbuhan dan segala macam ciptaan-NYA juga menjadi penghuni alam ini.

Apa agaknya yang ingin saya kongsikan di sini?

Beberapa hari lepas, saya terbaca beberapa artikel dalam Majalah Mastika keluaran terbaru 2011. Cukup menyentuh hati dan membuat jiwa saya terluka melihat telatah manusia yang tidak berperikemanusiaan. Sungguh kasihan, muka depan majalah tersebut di hiasi oleh seekor kucing yang bagi saya nasibnya sungguh malang. Kedua-dua kaki hadapannya telah tiada. Bukan kerana ia lahir tidak sempurna fizikal, tapi manusia yang tidak berhati perut telah 'merampas' anggota fizikal kucing tersebut dengan memotong kedua-dua kaki hadapannya.

Pilu rasa hati saya apabila membaca artikel tersebut. KEJAM! Ya, manusia yang bertindak demikian sungguh dan teramat KEJAM!!!

Di mana letaknya rasa kasih dan sayang sesama makhluk? Apa dosa kucing tersebut diperlakukan begitu?

Syukur pada-NYA, ada insan mulia yang sudi mengubati kucing tersebut. Menjaganya dan memberi perlindungan sewajarnya untuk si comel tersebut dan kini haiwan tersebut masih dipanjangkan usianya, masih hidup hingga kini.

Saya seorang pecinta haiwan, saya kasih pada haiwan kerana bagi saya haiwan juga punya perasaan seperti mana kita ingin di sayangi dan dikasihi. Begitu juga haiwan. Mereka bukan manusia yang mampu untuk berusaha sendiri mencari makanan untuk meneruskan kehidupan. Suara mereka tidak pernah kita fahami, kata-kata mereka tidak pernah kita mengerti walau sedikit pun.

Saya sendiri membela hampir 20 ekor kucing. Ibarat sebuah famili haiwan yang besar, ada ibunya, ada ayahnya, ada anak-anaknya. Mungkin saya tidak mampu untuk memberi dan menyediakan segalanya untuk haiwan-haiwan comel belaan saya, namun saya akan pastikan mereka mendapat perlindungan dan makanan secukupnya.

Walaupun ada kucing belaan saya yang sangat nakal hingga mendatangkan amarah. Tapi hati saya tidak sanggup membiarkan mereka menjadi haiwan jalanan yang tidak tentu arah hidupnya. Biarlah hidup mati mereka tetap bersama saya. Kadangkala ada juga insan yang ingin memiliki kucing belaan saya, namun saya tidak sanggup memberi mereka kepada manusia lain. Saya anggapkan mereka seperti sebuah keluarga dan tidak boleh di pisahkan.

Beberapa minggu lepas, adik saya terjumpa sebuah kotak yang dibuang di tepi jalan. Pada sangkaan kami, mungkin ada bayi yang di buang. Ternyata sangkaan kami silap. Bukan bayi, tapi seekor kucing betina yang sedang meingkat dewasa telah di tinggalkan di dalam sebuah kotak di tepi jalan yang sangat sibuk dilalui oleh pelbagai jenis kenderaan.

Sayu rasa hati apabila ada manusia yang sanggup membuang kucing tersebut di tepi jalan. Jika umurnya tidak panjang, sudah lama mati di langgar kenderaan.

Saya dan keluarga ambil kucing tersebut dan bawa pulang ke rumah. Saya gembira dapat lakukan sesuatu untuk kucing tersebut. Kini, kucing tersebut juga menjadi sebahagian daripada keluarga kami.

Saya sungguh kasihan melihat haiwan jalanan yang nasibnya tidak menentu. Sedih rasa hati ini. Andai saya jadi seperti mereka, macam manalah agaknya. Syukurlah, saya lahir sebagai seorang manusia dan saya bersyukur saya punya rasa kasih untuk makhluk lain.

Haiwan juga makhluk ciptaan-NYA cuma ia tidak seistimewa kejadian manusia. Allah anugerahkan kepada manusia rasa kasih dan perasaan itu bukan semata-mata untuk di kongsikan hanya sesama manusia saja, malah kita juga perlu kongsikan rasa kasih itu sesama makhluk lain.

Moga kita menjadi manusia yang penuh dengan rasa kecintaan terhadap sesama makhluk. Jangan jadi kejam, jangan menganiaya makhluk lain.

Semua makhluk punya hak untuk hidup sesempurna mungkin...