Saturday 29 October 2011

.:: Ungu - Kenapa? Kerana... ::.

.:: Salam ~ Ungu: Kenapa? Kerana... ::.

Akhirnya, lengkap sudah 7 warna pelangi untuk entri-entri terawal dalam blog saya ini, Alhamdulillah.

Hmm.. Entri saya kali ini ingin saya jelaskan kenapa dan mengapa saya telah menyahaktifkan (deactivate) laman sosial milik saya. Ada beberapa sebab yang harus saya jelaskan di sini agar teman-teman saya dapat memahami kenapa dan mengapa harus saya menyahaktifkan laman sosial saya.

Saya faham dan saya cukup mengerti, dunia IT kini tiada sempadannya. Dunia maya yang menghubungkan jutaan manusia dari seluruh pelosok dunia tanpa mengira bangsa, warna kulit, pegangan agama dan sebagainya. Tidak saya nafikan bahawa laman sesawang sosial atau social networking sites punya kelebihan dan impak positifnya.

Ia menghubungkan yang jauh dan mencipta jaringan baru secara alam maya. Pelbagai idea, isu dan sebagainya dapat dikongsikan di laman sosial. Saya fikir tidak perlu saya senaraikan semua laman sosial yang wujud masa kini kerana saya yakin dan percaya, anda lebih mengetahuinya.

Namun begitu, ada juga keburukan dan impak negatifnya. Bagi saya kesan negatifnya berbeza untuk setiap individu.

Sebab pertama mengapa saya telah menyahaktifkan laman sosial saya kerana, saya tidak mahu lagi ada fitnah dunia yang terlalu menguji kesabaran saya. Fitnah dunia yang pelbagai, yang kadangkala terlalu menyeksa jiwa. Cukuplah dengan apa yang pernah saya lalui sebelum ini. Saya tidak ingin kejadian buruk dan sejarah hitam berulang kembali.

Yang keduanya, terlalu banyak keburukan dan sengketa yang saya peroleh melalui laman sosial. Saya tidak ingin sengketa terjadi lagi. Cukup dengan apa yang telah berlaku.

Yang ketiganya pula, ada hati yang perlu saya jaga dan pelihara. Saya berusaha menjaga hatinya sebaik mungkin kerana saya tidak ingin melukainya buat sekian kali. Terlalu banyak luka yang pernah saya toreh dalam hatinya, Cukuplah! Saya cuma inginkan yang terbaik buat kami dan buat dirinya. Saya ingin bina rasa percaya diri sepenuhnya untuk saya, untuk dia dan untuk kami. Yang penting, rasa bahagia wujud antara kami dan saya kini lebih yakin dan lebih mempercayainya.

Yang keempat, saya bosan dengan segala macam kerenah manusia di dalam laman sosial. Saya tidak mahu menjadi umpat keji manusia lain. Saya inginkan kebaikan dan saya percaya menyahaktif laman sosial milik saya adalah jalan terbaik.

Kelima, hmm..apa ya??? Cukuplah 4 sebab saya nyatakan dan jelaskan di sini. Sebab-sebab lain biarlah hanya saya yang mengetahuinya.

Saya masih tetap boleh berkomunikasi dan berinteraksi dengan teman-teman saya walaupun tanpa laman sosial. Dunia di hujung jari. Guna telefon bimbit, emel juga masih boleh berhubung.

Buat teman-teman, bukan saya menyepi diri. Saya masih bernafas hingga saat ini. Kalian masih tetap saya ingati.

Laman blog ini mungkin boleh menghubungkan kembali persahabatan saya dan teman-teman lama.

Saya mohon ribuan kemaafan andai tinta saya kali ini mengundang luka dan kecil hati di hati sesiapa yang membacanya. Maaf saya pinta, bukan niat di hati untuk memburukkan sesiapa. Saya juga bukan anti-sosial. Cuma saya fikir ini jalan terbaik yang saya buat. Sahabat-sahabat dan teman hati saya tetap istimewa selamanya buat saya.

Maaf sekali lagi...

Mungkin suatu hari nanti saya akan mengaktifkan kembali laman sosial saya. Tengoklah macam mana. Andai ia perlu demi tuntutan kerja saya kelak, mungkin kalian akan ketemu saya semula di alam maya atau mungkin juga tidak...

Seribu kemaafan saya pohon...

Thursday 27 October 2011

.:: Indigo - Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-75, Sidang Ke-10 ::.

.:: Salam ~ Indigo: Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-75, Sidang Ke-10 ::.

Hari ini, 27 Oktober 2011 (Khamis) adalah hari istimewa dan sangat bersejarah dalam hidup saya. Hari saya dan rakan-rakan seperjuangan menikmati hasil kejayaan kami selama 2 tahun ini. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Saya sangat bersyukur kepada-NYA kerana memanjangkan usia saya hingga saat ini dan dengan izin-NYA jua, saya berkesempatan hadir ke majlis istimewa ini.

Saya sangat teruja, gembira hingga saya sendiri sukar untuk menggambarkan rasa kegembiraan itu. Majlis yang berlangsung penuh adat istiadat ini berlangsung seawal jam 7.30 pagi dan berakhir jam 12.00 tengahari.

Majlis konvokesyen yang membuatkan hati saya rasa sangat bangga menjadi sebahagian daripada 'keluarga besar' UiTM. Saya antara orang-orang yang dipilih oleh-NYA untuk hadir ke majlis ini. Tentunya rasa bangga memenuhi ruang dada saya. Sayu juga hati ini apabila mengenangkan kembali kepayahan, susah senang yang saya dan rakan-rakan lalui selama 2 tahun ini. Usaha kami akhirnya membuahkan hasilnya. Saya telah berusaha keras untuk kejayaan hari ini. Walaupun apa yang saya peroleh bukanlah seperti apa yang saya inginkan, tetapi saya bersyukur kerana saya berjaya tamatkan pelajaran saya.

Buat teman-teman yang berjaya memperoleh apa yang diimpikan, TAHNIAH buat kalian. Doa saya buat kalian agar kalian terus sukses di masa akan datang. Yang kurang berjaya, jangan gusar, jangan bimbang. Percaya pada qada' dan qadar-NYA. Rezeki anda ada di mana-mana. Teruskan usaha, Insya-Allah, suatu hari nanti anda pasti menjadi orang-orang yang hebat.

Kejayaan tidak semestinya diukur dengan nilai CGPA yang anda peroleh, kejayaan boleh diperoleh dalam pelbagai bentuk. Ia berbeza bagi setiap insan. Apabila anda memperoleh sesuatu atas usaha anda sendiri, ia sebenarnya kejayaan buat anda. Yang penting, bersyukur dengan apa yang diperoleh. Mungkin di masa akan datang, ada kejayaan di luar dugaan yang mungkin diperoleh.

Berbalik kepada majlis gilang-gemilang ini, lebih kurang 1,000 graduan diploma dan ijazah sarjana muda dianugerahkan diploma dan ijazah masing-masing. Sidang ke-10 menyaksikan graduan dari 3 buah fakulti memperoleh diploma dan ijazah masing-masing, terdiri daripada Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan dan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi. Meriah, menarik!

Untuk sidang kali ini, semua diploma dan ijazah telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad, Pro Canselor UiTM. 

Majlis ini sangat istimewa kerana ia berlangsung pada tarikh yang sama sewaktu saya memperoleh diploma saya 2 tahun yang lalu. Bezanya cuma, 2 tahun lalu tarikh 27 Oktober 2009 merupakan sidang terakhir konvokesyen UiTM Ke-71 dan kali ini tarikh yang sama tetapi antara sidang terawal. Ia juga majlis yang sangat istimewa buat saya kerana seseorang yang sangat istimewa dalam hati ini hadir sama menyaksikan saya memperoleh ijazah.

Saya sangat gembira, hajat saya ditunaikan. Alhamdulillah! Terima kasih juga buat insan istimewa tersebut kerana sudi hadir berkongsi kegembiraan bersama saya. Saya akan sentiasa doakan kejayaan buat anda dan Insya-Allah, jika masih dipanjangkan usia saya, saya pasti akan hadir ke majlis konvokesyen anda pula.

Terima kasih juga buat 2 insan istimewa yang membesarkan saya dan mencurahkan segalanya untuk saya. Ibu dan ayah saya. Terima kasih ibu, terima kasih ayah!

Terima kasih teman-teman. Kalian rakan-rakan hebat yang pernah saya miliki. Terima kasih kerana sama-sama berjuang dengan saya. Moga kita dipertemukan lagi suatu hari nanti, Insya-Allah.

Buat tatapan anda, sedikit memori yang sempat saya rakamkan bersama teman-teman...

 
>>Bonda dan ayahanda saya<<

>>Teman saya, Syamimi<<

>>Teman-teman seperjuangan saya, (dari kiri: Azimah, Yaya, Azila, Saya, Mera & Syamimi)<<

>>Lagi teman-teman saya, Adila berkaca mata<<




>>Syamimi, saya & Mera<<

>>Tambahan, Sabrina di sebelah kiri Syamimi dan Zaharah di sebelah kiri Yaya<<


>>Teman IS Muzium Negara saya, Amy<<


>>Lagi teman sekuliah saya, Farhana @ Pa'an<<


>>Konon-kononnya bunga tu Mera beri kepada Yaya dan Syamimi, hakikatnya bunga itu milik Mera... hehehe<<


Hari yang indah dan penuh bermakna buat saya dan teman-teman. Moga kita akan bertemu lagi, Insya-Allah. Saya sayang kalian. Terima kasih untuk segalanya yang kita lalui bersama.

Monday 24 October 2011

.:: Biru - Yang Hidup ::.

.:: Salam ~ Biru: Yang Hidup ::.

Yang hidup? Apa dia? Kenapa tajuk entri saya ini terlalu ringkas dan sedikit mengelirukan? Mudah saja. Yang hidup, yang bernyawa, yang bernafas, yang bergerak seiring, seirama bersama kita. Bukan hanya manusia saja yang menjadi penghuni alam ini, malah haiwan, tumbuhan dan segala macam ciptaan-NYA juga menjadi penghuni alam ini.

Apa agaknya yang ingin saya kongsikan di sini?

Beberapa hari lepas, saya terbaca beberapa artikel dalam Majalah Mastika keluaran terbaru 2011. Cukup menyentuh hati dan membuat jiwa saya terluka melihat telatah manusia yang tidak berperikemanusiaan. Sungguh kasihan, muka depan majalah tersebut di hiasi oleh seekor kucing yang bagi saya nasibnya sungguh malang. Kedua-dua kaki hadapannya telah tiada. Bukan kerana ia lahir tidak sempurna fizikal, tapi manusia yang tidak berhati perut telah 'merampas' anggota fizikal kucing tersebut dengan memotong kedua-dua kaki hadapannya.

Pilu rasa hati saya apabila membaca artikel tersebut. KEJAM! Ya, manusia yang bertindak demikian sungguh dan teramat KEJAM!!!

Di mana letaknya rasa kasih dan sayang sesama makhluk? Apa dosa kucing tersebut diperlakukan begitu?

Syukur pada-NYA, ada insan mulia yang sudi mengubati kucing tersebut. Menjaganya dan memberi perlindungan sewajarnya untuk si comel tersebut dan kini haiwan tersebut masih dipanjangkan usianya, masih hidup hingga kini.

Saya seorang pecinta haiwan, saya kasih pada haiwan kerana bagi saya haiwan juga punya perasaan seperti mana kita ingin di sayangi dan dikasihi. Begitu juga haiwan. Mereka bukan manusia yang mampu untuk berusaha sendiri mencari makanan untuk meneruskan kehidupan. Suara mereka tidak pernah kita fahami, kata-kata mereka tidak pernah kita mengerti walau sedikit pun.

Saya sendiri membela hampir 20 ekor kucing. Ibarat sebuah famili haiwan yang besar, ada ibunya, ada ayahnya, ada anak-anaknya. Mungkin saya tidak mampu untuk memberi dan menyediakan segalanya untuk haiwan-haiwan comel belaan saya, namun saya akan pastikan mereka mendapat perlindungan dan makanan secukupnya.

Walaupun ada kucing belaan saya yang sangat nakal hingga mendatangkan amarah. Tapi hati saya tidak sanggup membiarkan mereka menjadi haiwan jalanan yang tidak tentu arah hidupnya. Biarlah hidup mati mereka tetap bersama saya. Kadangkala ada juga insan yang ingin memiliki kucing belaan saya, namun saya tidak sanggup memberi mereka kepada manusia lain. Saya anggapkan mereka seperti sebuah keluarga dan tidak boleh di pisahkan.

Beberapa minggu lepas, adik saya terjumpa sebuah kotak yang dibuang di tepi jalan. Pada sangkaan kami, mungkin ada bayi yang di buang. Ternyata sangkaan kami silap. Bukan bayi, tapi seekor kucing betina yang sedang meingkat dewasa telah di tinggalkan di dalam sebuah kotak di tepi jalan yang sangat sibuk dilalui oleh pelbagai jenis kenderaan.

Sayu rasa hati apabila ada manusia yang sanggup membuang kucing tersebut di tepi jalan. Jika umurnya tidak panjang, sudah lama mati di langgar kenderaan.

Saya dan keluarga ambil kucing tersebut dan bawa pulang ke rumah. Saya gembira dapat lakukan sesuatu untuk kucing tersebut. Kini, kucing tersebut juga menjadi sebahagian daripada keluarga kami.

Saya sungguh kasihan melihat haiwan jalanan yang nasibnya tidak menentu. Sedih rasa hati ini. Andai saya jadi seperti mereka, macam manalah agaknya. Syukurlah, saya lahir sebagai seorang manusia dan saya bersyukur saya punya rasa kasih untuk makhluk lain.

Haiwan juga makhluk ciptaan-NYA cuma ia tidak seistimewa kejadian manusia. Allah anugerahkan kepada manusia rasa kasih dan perasaan itu bukan semata-mata untuk di kongsikan hanya sesama manusia saja, malah kita juga perlu kongsikan rasa kasih itu sesama makhluk lain.

Moga kita menjadi manusia yang penuh dengan rasa kecintaan terhadap sesama makhluk. Jangan jadi kejam, jangan menganiaya makhluk lain.

Semua makhluk punya hak untuk hidup sesempurna mungkin...

.:: Hijau - Musim Haji Tiba Lagi ::.

.:: Salam ~ Hijau: Musim Haji Tiba Lagi ::.

Maaf sekali lagi kerana masih belum menunaikan janji saya untuk mencoretkan sesuatu tentang pembentukan pelangi. Mungkin di entri yang akan datang akan saya nukilkan serba ringkas tentangnya, Insya-Allah.

Musim haji kini tiba lagi. Mungkin juga agak terlewat untuk saya membicarakannya di sini. Mungkin juga tidak. Umat Islam dari seluruh pelosok dunia sedang berkumpul di Mekah untuk menunaikan ibadah haji, salah satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan andai telah cukup segala kemampuan untuk menunaikannnya.

Alhamdulillah, buat insan-insan terpilih menjadi tetamu Allah tahun ini, saya doakan anda semua diberi kesihatan yang baik sepanjang berada di Tanah Suci Mekah dan dapat melaksanakan semua kewajipan rukun haji dengan sebaik-baiknya, Insya-Allah.

Saya di sini masih lagi memasang impian untuk melaksanakan ibadah ini. Saat ini terasa juga kerinduan untuk berada di Tanah Suci Mekah, menunaikan dan melaksanakan kewajipan seorang Muslimah. Insya-Allah, dengan izin-NYA suatu hari nanti saya pasti akan ke sana. Teringin rasa hati untuk menjejakkan kaki di sana dan merasakan DIA paling hampir, paling dekat bersama saya.

Ingin saya habiskan seluruh tempoh masa sepanjang di Tanah Suci Mekah untuk lebih dekat pada-NYA. Ingin saya mohon keampunan semahu-mahunya dari-NYA.

Bila agaknya impian saya ini akan terlaksana? Entahlah. DIA lebih tahu. Perancangan-NYA cukup hebat. Tiada tandingan.

Moga terlaksana impian saya ini sebelum mata saya tertutup rapat, tidak di buka lagi....

Friday 7 October 2011

.:: Kuning - 2 Ujian ::.

.:: Salam ~ Kuning: 2 Ujian ::.

Maaf saya pinta andai ada yang menunggu entri berkenaan proses pembentukan pelangi. Saya masih mencari maklumat tepat berkenaan pembentukan pelangi. Oleh sebab itu, entri kali ini juga tidak berkisar tentang kejadian pelangi. Jadi, anda perlu teruskan pembacaan di blog saya ini. Hehehe...

Kenapa 2 ujian? Ada apa dengan ujian? Ujian apa? Peperiksaan? atau mungkin ujian lain, hmm...

Ujian boleh jadi apa saja. Saya ingin kongsikan disini 2 bentuk ujian yang biasa kita hadapi. Ini hanya sekadar pandangan peribadi saya berdasarkan apa yang saya alami dan orang-orang sekeliling saya alami.

2 ujian? Hmm... Apa?

Saya sentiasa yakin dan percaya sepanjang hidup kita ini kita pastinya akan di uji dengan 2 bentuk ujian. 2 saja? Betul ke? Kan ada macam-macam ujian yang perlu dilalui. Ya, benar. Terlalu banyak ujian yang harus kita lalui sebenarnya. Apa yang ingin saya bincangkan disini adalah 2 bentuk ujian secara umum sahaja.

Apa 2 ujian yang saya maksudkan? 2 ujian tersebut adalah:

1. Kesenangan dan kebahagiaan
2. Kesusahan dan kesempitan

Secara umumnya, saya berpendapat bahawa kita sebagai manusia lebih-lebih yang beragama Islam, (saya seorang wanita Muslim), pastinya akan di uji dengan 2 bentuk ujian ini.

Kita di anugerahi oleh Yang Maha Kuasa dengan kesenangan dan kebahagiaan.  DIA memberi kita kelebihan hidup dengan harta, pangkat, ketinggian ilmu dan darjat dan sebagainya. Saya percaya ini adalah ujian. Kenapa saya katakan begitu?

Allah memberi kita kesenangan hidup untuk melihat sejauh mana kita bersyukur dengan rezeki yang diberi-NYA. DIA ingin menilai sejauh mana kita menggunakan rezeki yang diberi-NYA itu samada untuk jalan kebaikan atau mungkin keburukan.

Adakala kita ini lalai, lupa dan leka kesenangan hidup yang kita kecapi kini juga merupakan ujian buat kita. Kita lupa siapa yang memberi kita semua kesenangan yang kita miliki hari ini. Yang bersyukur pada-NYA, Alhamdulillah. Moga-moga DIA menambah lagi rezeki kita.

Rezeki yang kita ada hari ini biarpun sedikit, andai dikongsi, saya percaya suatu hari nanti Allah membalasnya dengan tambahan rezeki lain. Mungkin tidak dalam bentuk harta, tapi mungkin DIA memberi kita kesihatan yang baik, DIA mempermudah segala urusan kita atau mungkin dalam bentuk ganjaran pahala atau sebagainya. Itu hak-NYA. Bagaimana DIA ingin memberi kita kesenangan, terpulang pada-NYA.

Kita jangan tamak, jangan sombong dengan apa yang kita miliki hari ini. Mungkin saat ini kita bersenang-lenang, hidup mewah, punya segala yang diinginkan. Tapi mungkin esok, DIA menarik balik segala apa yang diberi-NYA kepada kita.

"Ucaplah Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah..."

Pernah anda dengar bait-bait lagu ini dendangan sebuah kumpulan nasyid terkenal? Pastinya anda biasa mendengarnya. Ucaplah syukur tanda kita berterima kasih pada-NYA.

Selain kesenangan dan kebahagiaan, kita juga di uji dengan kesusahan dan kesempitan. Seringkali kita tewas dengan godaan syaitan saat kita di uji dengan kesusahan dan kesempitan hidup. Kita lupa untuk terus kekal dengan sifat sabar dan seringkali itu juga kita menyalahkan takdir-NYA.

Mengapa jadi begitu? Mengapa jadi begini? Kalaulah...

Seorang ustaz pernah berkata, tiada 'pokok kalau' dalam hidup kita ini. Semua yang berlaku itu sudah tersurat sejak azali lagi. Kita tidak boleh menyalahkan takdir atau apa-apa sekalipun.

Apabila kita di uji dengan kesusahan dan kesempitan, contohnya kita di uji dengan diberi penyakit yang berat untuk di tanggung sehingga kita berasa tidak sanggup untuk melaluinya, kita tidak seharusnya berasa kecewa.

Allah sebenarya menguji tahap kesabaran dan keyakinan kita terhadap-NYA. Andai kita sabar dan percaya pada-NYA, DIA pasti membantu kita melalui kesusahan dan kesempitan dengan lapang dada tanpa menyalahkan sesiapa atau apa-apa.

Paling utama, dalam kesenangan atau kesusahan sekalipun, jangan pernah lupa pada-NYA. DIA lebih tahu segalanya. DIA memberi kita ujian sepadan dengan kemampuan kita. Kerana kita mampu hadapinya, DIA memberi kita ujian tersebut.

Yakin pada-NYA. Berdoa terus-terusan pada-NYA kerana DIA sangat menyenangi hamba-NYA yang sering berdoa dan meminta pada-NYA. Tapi kita harus sabar menunggu doa kita dimakbulkannya. Cepat atau lambat doa kita dimakbulkan, itu urusan-NYA.

Sabar. Jangan putus asa dan bersyukur pada-NYA.

** Saya mohon maaf andai apa yang saya kongsikan disini tidak tepat maklumatnya. Andai saya salah, tolong betulkan saya. Andai saya benar, sama-samalah kita renung kembali diri kita sendiri dan betulkan atau perbaiki yang silap atau kurang. Moga kita sama-sama beroleh ganjaran dari-NYA.**

Wednesday 5 October 2011

.:: Jingga - 2 Kejadian unik pelangi ::.

.:: Salam ~ Jingga: 2 Kejadian unik pelangi ::.

Seperti yang dijanjikan dalam entri sebelum ini (entri semalam..hehehe), saya nak sambung entri 'Jingga' hari ini dengan berkongsi 2 kejadian unik pelangi yang saya alami sendiri.


KEJADIAN UNIK PERTAMA:-

Saya sebenarnya baru sahaja menamatkan pengajian sarjana muda saya di salah sebuah IPTA tersohor di tanahair kita ini (Malaysiaku Gemilang!!! ~ semangat patriotik pula saya ni yer..hehehe). Sebelum itu saya terlebih dahulu berusaha keras, berjuang untuk mendapatkan segulung diploma di sebuah IPTA di kepulauan Borneo, lebih tepat lagi Bumi Kenyalang, Sarawak. 3 tahun saya habiskan masa untuk segulung diploma yang akhirnya berjaya saya miliki, Alhamdulillah.

Ya, sudah tentunya saya perlu menggunakan perkhidmatan kapal terbang untuk ke sana. Kalau diikutkan kata orang-orang Sarawak, mereka gelarkan kapal terbang sebagai 'belon'. Jangan salah sangka, ini bukan belon yang anak-anak kecil sukakan itu..hehehe.

Kebiasaannya saya akan 'terbang' pergi dan balik seorang diri. Ia sesuatu yang menyeronokkan, seperti mengembara sendirian. Suatu ketika, saya 'terbang' pulang ke semenanjung tanahair, sambil menjenguk keluar tingkap kecil penerbangan AirAsia atau MAS, saya tidak pasti. Saya gemar merakamkan gambar langit dan awan dan ketika asyik merakam gambar-gambar, saya terlihat pelangi. Kecil. Tidak seperti yang kita lihat apabila berada di daratan bumi.

Sangka saya pelangi sangat besar, mencecah langit ke-7 mungkin. Sangkaan saya sebenarnya silap. Saya tidak pasti setinggi mana pelangi itu terbentuk, tapi yang pastinya ia kelihatan kecil dan hanya di lokasi tertentu saja ia terbentuk. Unik!

Ada saya rakamkan gambar pelangi tersebut. Nanti saya cari dan upload untuk tatapan anda.


KEJADIAN UNIK KEDUA:-

Kejadin unik kedua ini berlaku ketika saya masih lagi dalam usaha untuk menamatkan pengajian sarjana muda saya. Kali ini ia berlaku di semenanjung Tanah Melayu...hehehe. Waktu itu saya dan  seorang teman sedang bersiap-siap untuk hadir kuliah pagi sebelum jam 8.30 pagi. Kami menaiki kereta teman saya dan kami terlihat 2 pelangi terbentuk berdekatan 1 sama lain. 1 di atas dan 1 di atas. Sungguh menakjubkan. Ia berlaku awal pagi. Rasa saya hampir jam 8.00 pagi waktu itu.

Saya dan teman saya tidak sempat merakamkan kejadian 2 pelangi tersebut. Sayangnya saya tidak dapat berkongsi gambar kejadian tersebut dengan anda semua.


Sungguh menakjubkan kejadian kedua-dua peristiwa tersebut. Subhanallah! Maha Suci Allah yang berkuasa menjadikan sesuatu yang tidak pernah terlintas dek akal fikiran manusia yang sungguh terbatas. Saya kagum dengan ciptaan-NYA.


**Saya akan carikan anda gambar pelangi yang saya rakamkan dari atas kapal terbang. Seandainya masih ada dalam simpanan saya.**

Tuesday 4 October 2011

.:: Merah - Zaman persekolahan ::.

.:: Salam ~ Merah: Zaman persekolahan ::.

Masih terkenang zaman persekolahan dahulu. Sewaktu belajar tentang pelangi. Bagaimana cara sesuai untuk mengingati warna-warna pelangi. Cikgu beri saya dan rakan-rakan akronim ini:
Michael Jackson Keluar Hutan Bawa Ibu Unta
Merah Jingga Kuning Hijau Biru Indigo Ungu

Nampak muda mengingati akronim ini, tapi sehingga saat ini sebenarnya saya masih keliru antara indigo dan ungu. Apa sebenarnya warna indigo, bagaimana warnanya. Saya sukar membezakan indigo dan ungu. Hampir sama tapi saya keliru beza kedua-duanya.

Beberapa bulan lepas saya dan seorang rakan menyediakan props untuk tugasan Food Styling kami dan saya terfikir untuk menyediakan sehelai kertas berwarna pelangi sebagai latar. Kebetulan pula tema Food Styling  kami pada minggu tersebut adalah 'aiskrim'. Tentunya aiskirm berwarna-warni, sesuai pula dengan warna pelangi.

Sekian lama meninggalkan zaman persekolahan peringkat rendah, saya sendiri terlupa warna-warna yang ada pada pelangi. Teringat pula akronim yang diajar guru saya, lantas saya mengingati semula warna-warna yang wujud pada pelangi.

Kesulitan dilalui apabila saya keliru antara warna indigo dan ungu. Gerak hati saya mengatakan warna indigo seperti ungu tetapi terang sedikit. Mungkin betul. Saya sendiri tidak pasti.

Andai ada yang membaca entri saya ini, tolong bantu saya bezakan antara 2 warna ini: indigo dan ungu.

Terima kasih atas bantuan anda.

**Untuk entri akan datang, saya ingin perjelaskan secara mudah tentang kejadian pelangi dan cerita tentang 2 kejadian unik pelangi ciptaan Yang Maha Hebat, Allah Yang Esa yang saya lihat dan lalui sendiri tika ia berlaku. Subhanaallah! Indah sekali.** 


.:: Pelangi Pertama ::.

.:: Salam ~ Pelangi Pertama ::.

Bukan kali pertama saya menukilkan entri di blog walaupun tajuk entri ini "Pelangi Pertama". Cuma entri-entri di blog terdahulu terlalu membuka ruang untuk umum mengetahui siapa empunya blog. 

Kali ini istimewa sedikit. Andai yang membaca mengenali si empunya "Pelangi Hidup", terima kasih di ucapkan kerana anda kenal siapa saya. Andai tidak mengenali, tak mengapa. Saya sangat berbesar hati jika anda sudi membaca entri-entri "Pelangi Hidup".

"Pelangi Hidup" ibarat diari maya yang bakal saya kongsikan pelbagai isu dari kacamata saya. 

Terima kasih buat followers "Pelangi Hidup".