Wednesday 23 November 2011

.:: Hijau - Hanya DIA Yang Tahu ::.

.:: Salam ~ Hijau: Hanya DIA yang tahu ::.

Cuba anda beritahu saya, siapakah manusia yang tidak pernah diberi ujian dan dugaan? Ada ke? Jawapan yang pasti adalah, TIADA!

Selagi mata belum tertutup rapat, selama mana kita masih dapat bernafas, maka selagi itulah dugaan dan ujian takkan pernah putus-putus datang kepada kita. Betul kan? Hmm...

Dan semua ujian dan dugaan itu datang dalam pelbagai bentuk dan cara. Apabila ia datang menguji kita, maka kita sebenarnya mampu untuk menghadapinya.

Adakala pengakhiran dugaan itu adalah sepertimana yang kita inginkan. Adakala pula, tidak seperti yang diharapkan.

Hanya DIA yang tahu segalanya. Tapi kita sebagai hamba-NYA masih boleh melakukan sesuatu sebelum kita tahu pengakhiran dugaan tersebut.

Bagaimana?

Yang pertama, jangan sesekali kita marah apabila sedikit ujian datang kepada kita. Tak perlu marah sebab setiap manusia yang hidup pasti akan tetap diuji.

Yang kedua, andai ujian itu datang dan ia melibatkan seseorang dalam hidup kita, maka ambillah masa dan berbincang. Cari penyelesaian terbaik agak tidak ada mana-mana pihak yang akan terluka ataupun rasa kecewa.

Yang ketiga, jangan putus harapan. Teruslah berdoa, yakinlah bahawa DIA pasti membantu kita.

Yang keempat, sabar. Apapun yang kita harus lalui, ia perlukan kesabaran. Ganjaran bagi orang yang sabar adalah syurga dan Insya-Allah, kesabaran kita itu berbaloi. SABAR...

Hanya DIA yang tahu segalanya...

Ujian juga satu cara DIA membantu kita menghapuskan dosa-dosa kecil kita dan ujian juga satu cara DIA mengingatkan kita manusia yang seringkali lupa pada penciptanya.

** Saya harap pengakhiran dugaan yang diberi-NYA kepada saya adalah pengakhiran yang membahagiakan, Insya-Allah. **

Wednesday 16 November 2011

.:: Biru - Doakan Saya ::.

.:: Salam ~ Biru: Doakan Saya ::.

Esok, Insya-Allah saya akan hadir untuk temuduga kerja dan ini merupakan temuduga kerja yang kedua buat saya. Rasanya saya tidak berjaya dalam temuduga yang pertama yang telah berlaku dalam bulan Julai yang lalu. Tidak mengapa, teruskan usaha. Rezeki ada dimana-mana. Jangan putus asa. Walau tiada siapa yang memberi sokongan dan semangat, cukuplah diri sendiri ini yang rasa kuat dan yakin serta mampu untuk menghadapi hari esok.

Walaupun jawatan yang ditawarkan tidaklah setinggi atau sehebat mana, tapi saya sangat bersyukur diberi peluang ini.

Bagi yang membaca entri saya ini, saya mohon agar anda mendoakan agar segalanya dipermudahkan buat saya sepanjang temuduga esok dan doakan juga agar saya dapat kerja ini.

Terima kasih atas doa-doa anda buat saya.

Amin.....

Monday 14 November 2011

.:: Indigo - Kacang Lupakan Kulit ::.

.:: Salam ~ Indigo: Kacang Lupakan Kulit ::.

Agak lama juga saya tidak menulis sebarang entri baru di laman blog ini. Banyak urusan lain yang perlu diuruskan.

Tentu anda biasa mendengar perumpamaan ini: 'KACANG LUPAKAN KULIT'.

Sebelum itu, saya mohon maaf banyak-banyak. Entri saya ini saya tulis secara umum dan tidak ada kaitannya dengan sesiapa. Andai ada yang terasa hati dengan entri saya ini, saya mohon seribu kemaafan. Niat saya hanya ingin berkongsi pengalaman dan suka duka kehidupan manusia sahaja.

Tanyalah siapa saja, saya pasti setiap orang mampu menjelaskan apa makna perumpamaan ini. Mudah difahami.

Kacang lupakan kulit maksudnya, seseorang itu lupa jasa dan pengorbanan yang orang lain telah lakukan untuk dirinya. Pendek kata, tidak menghargai jasa orang lain terhadap dirinya. (Andai ada maksud yang lebih tepat lagi, bantu saya betulkannya, ya)

Sepanjang hidup saya ini yang baru mahu melihat dunia sebenar, pelbagai ragam manusia saya temui dan sepanjang itu juga saya telah temui ramai manusia yang boleh saya kategorikan sebagai 'Kacang Lupakan Kulit'.

Bukan niat saya untuk mengungkit segala apa yang telah saya dan keluarga saya lakukan untuk mereka, cuma rasa terkilan dan sedih apabila mengenang kembali semua itu. Mungkin memang itulah sifat semulajadi manusia. Apabila mereka dalam kesusahan, kita dicari. Apabila senang, kita dilupai.

Entahlah, kadang-kadang saya penat melayan kerenah manusia. Ada juga kadang-kadang saya rasa tak mahu lagi berbuat jasa pada insan lain. Saya penat. Tapi tak sampai hati melihat orang lain dalam kesusahan.

Pesan ayahanda saya, berbuat terhadap orang lain tak perlu mengharap balasan daripada mereka. Andai mereka lupa jasa-jasa kita, biarkanlah mereka. Itu hari mereka, bila badai menghempas pantai kehidupan mereka sekali lagi, mereka akan sedar dan kembali mencari kita.

Buat baik, balasannya baik. Tapi buat baik dengan niat yang baik dan hati yang ikhlas, Insya-Allah beroleh balasan yang baik dan lebih baik dari-NYA.

Andai yang membaca entri saya ini berasakan diri mereka ibarat seperti pepatah ini, nasihat saya agar anda kembali berpijak di bumi yang nyata. Kita ini bukan sesiapa. Hanya manusia kerdil yang menumpang sementara di bumi milik Yang Maha Agung. Berbuat baiklah sesama manusia.

Andai perbuatan baik anda tidak dihargainya, cukuplah anda katakan pada diri anda sendiri, "Tuhan itu Maha Kaya. Yang berhak memberi segalanya, hanya DIA". Reda dan ikhlaskan hati anda.

Maaf sekali lagi andai anda kecil hati atau terluka dengan kata-kata dalam entri saya kali ini.