Monday 14 November 2011

.:: Indigo - Kacang Lupakan Kulit ::.

.:: Salam ~ Indigo: Kacang Lupakan Kulit ::.

Agak lama juga saya tidak menulis sebarang entri baru di laman blog ini. Banyak urusan lain yang perlu diuruskan.

Tentu anda biasa mendengar perumpamaan ini: 'KACANG LUPAKAN KULIT'.

Sebelum itu, saya mohon maaf banyak-banyak. Entri saya ini saya tulis secara umum dan tidak ada kaitannya dengan sesiapa. Andai ada yang terasa hati dengan entri saya ini, saya mohon seribu kemaafan. Niat saya hanya ingin berkongsi pengalaman dan suka duka kehidupan manusia sahaja.

Tanyalah siapa saja, saya pasti setiap orang mampu menjelaskan apa makna perumpamaan ini. Mudah difahami.

Kacang lupakan kulit maksudnya, seseorang itu lupa jasa dan pengorbanan yang orang lain telah lakukan untuk dirinya. Pendek kata, tidak menghargai jasa orang lain terhadap dirinya. (Andai ada maksud yang lebih tepat lagi, bantu saya betulkannya, ya)

Sepanjang hidup saya ini yang baru mahu melihat dunia sebenar, pelbagai ragam manusia saya temui dan sepanjang itu juga saya telah temui ramai manusia yang boleh saya kategorikan sebagai 'Kacang Lupakan Kulit'.

Bukan niat saya untuk mengungkit segala apa yang telah saya dan keluarga saya lakukan untuk mereka, cuma rasa terkilan dan sedih apabila mengenang kembali semua itu. Mungkin memang itulah sifat semulajadi manusia. Apabila mereka dalam kesusahan, kita dicari. Apabila senang, kita dilupai.

Entahlah, kadang-kadang saya penat melayan kerenah manusia. Ada juga kadang-kadang saya rasa tak mahu lagi berbuat jasa pada insan lain. Saya penat. Tapi tak sampai hati melihat orang lain dalam kesusahan.

Pesan ayahanda saya, berbuat terhadap orang lain tak perlu mengharap balasan daripada mereka. Andai mereka lupa jasa-jasa kita, biarkanlah mereka. Itu hari mereka, bila badai menghempas pantai kehidupan mereka sekali lagi, mereka akan sedar dan kembali mencari kita.

Buat baik, balasannya baik. Tapi buat baik dengan niat yang baik dan hati yang ikhlas, Insya-Allah beroleh balasan yang baik dan lebih baik dari-NYA.

Andai yang membaca entri saya ini berasakan diri mereka ibarat seperti pepatah ini, nasihat saya agar anda kembali berpijak di bumi yang nyata. Kita ini bukan sesiapa. Hanya manusia kerdil yang menumpang sementara di bumi milik Yang Maha Agung. Berbuat baiklah sesama manusia.

Andai perbuatan baik anda tidak dihargainya, cukuplah anda katakan pada diri anda sendiri, "Tuhan itu Maha Kaya. Yang berhak memberi segalanya, hanya DIA". Reda dan ikhlaskan hati anda.

Maaf sekali lagi andai anda kecil hati atau terluka dengan kata-kata dalam entri saya kali ini.

No comments:

Post a Comment