Monday 24 October 2011

.:: Biru - Yang Hidup ::.

.:: Salam ~ Biru: Yang Hidup ::.

Yang hidup? Apa dia? Kenapa tajuk entri saya ini terlalu ringkas dan sedikit mengelirukan? Mudah saja. Yang hidup, yang bernyawa, yang bernafas, yang bergerak seiring, seirama bersama kita. Bukan hanya manusia saja yang menjadi penghuni alam ini, malah haiwan, tumbuhan dan segala macam ciptaan-NYA juga menjadi penghuni alam ini.

Apa agaknya yang ingin saya kongsikan di sini?

Beberapa hari lepas, saya terbaca beberapa artikel dalam Majalah Mastika keluaran terbaru 2011. Cukup menyentuh hati dan membuat jiwa saya terluka melihat telatah manusia yang tidak berperikemanusiaan. Sungguh kasihan, muka depan majalah tersebut di hiasi oleh seekor kucing yang bagi saya nasibnya sungguh malang. Kedua-dua kaki hadapannya telah tiada. Bukan kerana ia lahir tidak sempurna fizikal, tapi manusia yang tidak berhati perut telah 'merampas' anggota fizikal kucing tersebut dengan memotong kedua-dua kaki hadapannya.

Pilu rasa hati saya apabila membaca artikel tersebut. KEJAM! Ya, manusia yang bertindak demikian sungguh dan teramat KEJAM!!!

Di mana letaknya rasa kasih dan sayang sesama makhluk? Apa dosa kucing tersebut diperlakukan begitu?

Syukur pada-NYA, ada insan mulia yang sudi mengubati kucing tersebut. Menjaganya dan memberi perlindungan sewajarnya untuk si comel tersebut dan kini haiwan tersebut masih dipanjangkan usianya, masih hidup hingga kini.

Saya seorang pecinta haiwan, saya kasih pada haiwan kerana bagi saya haiwan juga punya perasaan seperti mana kita ingin di sayangi dan dikasihi. Begitu juga haiwan. Mereka bukan manusia yang mampu untuk berusaha sendiri mencari makanan untuk meneruskan kehidupan. Suara mereka tidak pernah kita fahami, kata-kata mereka tidak pernah kita mengerti walau sedikit pun.

Saya sendiri membela hampir 20 ekor kucing. Ibarat sebuah famili haiwan yang besar, ada ibunya, ada ayahnya, ada anak-anaknya. Mungkin saya tidak mampu untuk memberi dan menyediakan segalanya untuk haiwan-haiwan comel belaan saya, namun saya akan pastikan mereka mendapat perlindungan dan makanan secukupnya.

Walaupun ada kucing belaan saya yang sangat nakal hingga mendatangkan amarah. Tapi hati saya tidak sanggup membiarkan mereka menjadi haiwan jalanan yang tidak tentu arah hidupnya. Biarlah hidup mati mereka tetap bersama saya. Kadangkala ada juga insan yang ingin memiliki kucing belaan saya, namun saya tidak sanggup memberi mereka kepada manusia lain. Saya anggapkan mereka seperti sebuah keluarga dan tidak boleh di pisahkan.

Beberapa minggu lepas, adik saya terjumpa sebuah kotak yang dibuang di tepi jalan. Pada sangkaan kami, mungkin ada bayi yang di buang. Ternyata sangkaan kami silap. Bukan bayi, tapi seekor kucing betina yang sedang meingkat dewasa telah di tinggalkan di dalam sebuah kotak di tepi jalan yang sangat sibuk dilalui oleh pelbagai jenis kenderaan.

Sayu rasa hati apabila ada manusia yang sanggup membuang kucing tersebut di tepi jalan. Jika umurnya tidak panjang, sudah lama mati di langgar kenderaan.

Saya dan keluarga ambil kucing tersebut dan bawa pulang ke rumah. Saya gembira dapat lakukan sesuatu untuk kucing tersebut. Kini, kucing tersebut juga menjadi sebahagian daripada keluarga kami.

Saya sungguh kasihan melihat haiwan jalanan yang nasibnya tidak menentu. Sedih rasa hati ini. Andai saya jadi seperti mereka, macam manalah agaknya. Syukurlah, saya lahir sebagai seorang manusia dan saya bersyukur saya punya rasa kasih untuk makhluk lain.

Haiwan juga makhluk ciptaan-NYA cuma ia tidak seistimewa kejadian manusia. Allah anugerahkan kepada manusia rasa kasih dan perasaan itu bukan semata-mata untuk di kongsikan hanya sesama manusia saja, malah kita juga perlu kongsikan rasa kasih itu sesama makhluk lain.

Moga kita menjadi manusia yang penuh dengan rasa kecintaan terhadap sesama makhluk. Jangan jadi kejam, jangan menganiaya makhluk lain.

Semua makhluk punya hak untuk hidup sesempurna mungkin...

No comments:

Post a Comment