Thursday 27 October 2011

.:: Indigo - Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-75, Sidang Ke-10 ::.

.:: Salam ~ Indigo: Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-75, Sidang Ke-10 ::.

Hari ini, 27 Oktober 2011 (Khamis) adalah hari istimewa dan sangat bersejarah dalam hidup saya. Hari saya dan rakan-rakan seperjuangan menikmati hasil kejayaan kami selama 2 tahun ini. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Saya sangat bersyukur kepada-NYA kerana memanjangkan usia saya hingga saat ini dan dengan izin-NYA jua, saya berkesempatan hadir ke majlis istimewa ini.

Saya sangat teruja, gembira hingga saya sendiri sukar untuk menggambarkan rasa kegembiraan itu. Majlis yang berlangsung penuh adat istiadat ini berlangsung seawal jam 7.30 pagi dan berakhir jam 12.00 tengahari.

Majlis konvokesyen yang membuatkan hati saya rasa sangat bangga menjadi sebahagian daripada 'keluarga besar' UiTM. Saya antara orang-orang yang dipilih oleh-NYA untuk hadir ke majlis ini. Tentunya rasa bangga memenuhi ruang dada saya. Sayu juga hati ini apabila mengenangkan kembali kepayahan, susah senang yang saya dan rakan-rakan lalui selama 2 tahun ini. Usaha kami akhirnya membuahkan hasilnya. Saya telah berusaha keras untuk kejayaan hari ini. Walaupun apa yang saya peroleh bukanlah seperti apa yang saya inginkan, tetapi saya bersyukur kerana saya berjaya tamatkan pelajaran saya.

Buat teman-teman yang berjaya memperoleh apa yang diimpikan, TAHNIAH buat kalian. Doa saya buat kalian agar kalian terus sukses di masa akan datang. Yang kurang berjaya, jangan gusar, jangan bimbang. Percaya pada qada' dan qadar-NYA. Rezeki anda ada di mana-mana. Teruskan usaha, Insya-Allah, suatu hari nanti anda pasti menjadi orang-orang yang hebat.

Kejayaan tidak semestinya diukur dengan nilai CGPA yang anda peroleh, kejayaan boleh diperoleh dalam pelbagai bentuk. Ia berbeza bagi setiap insan. Apabila anda memperoleh sesuatu atas usaha anda sendiri, ia sebenarnya kejayaan buat anda. Yang penting, bersyukur dengan apa yang diperoleh. Mungkin di masa akan datang, ada kejayaan di luar dugaan yang mungkin diperoleh.

Berbalik kepada majlis gilang-gemilang ini, lebih kurang 1,000 graduan diploma dan ijazah sarjana muda dianugerahkan diploma dan ijazah masing-masing. Sidang ke-10 menyaksikan graduan dari 3 buah fakulti memperoleh diploma dan ijazah masing-masing, terdiri daripada Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, Fakulti Pengurusan Hotel & Pelancongan dan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi. Meriah, menarik!

Untuk sidang kali ini, semua diploma dan ijazah telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad, Pro Canselor UiTM. 

Majlis ini sangat istimewa kerana ia berlangsung pada tarikh yang sama sewaktu saya memperoleh diploma saya 2 tahun yang lalu. Bezanya cuma, 2 tahun lalu tarikh 27 Oktober 2009 merupakan sidang terakhir konvokesyen UiTM Ke-71 dan kali ini tarikh yang sama tetapi antara sidang terawal. Ia juga majlis yang sangat istimewa buat saya kerana seseorang yang sangat istimewa dalam hati ini hadir sama menyaksikan saya memperoleh ijazah.

Saya sangat gembira, hajat saya ditunaikan. Alhamdulillah! Terima kasih juga buat insan istimewa tersebut kerana sudi hadir berkongsi kegembiraan bersama saya. Saya akan sentiasa doakan kejayaan buat anda dan Insya-Allah, jika masih dipanjangkan usia saya, saya pasti akan hadir ke majlis konvokesyen anda pula.

Terima kasih juga buat 2 insan istimewa yang membesarkan saya dan mencurahkan segalanya untuk saya. Ibu dan ayah saya. Terima kasih ibu, terima kasih ayah!

Terima kasih teman-teman. Kalian rakan-rakan hebat yang pernah saya miliki. Terima kasih kerana sama-sama berjuang dengan saya. Moga kita dipertemukan lagi suatu hari nanti, Insya-Allah.

Buat tatapan anda, sedikit memori yang sempat saya rakamkan bersama teman-teman...

 
>>Bonda dan ayahanda saya<<

>>Teman saya, Syamimi<<

>>Teman-teman seperjuangan saya, (dari kiri: Azimah, Yaya, Azila, Saya, Mera & Syamimi)<<

>>Lagi teman-teman saya, Adila berkaca mata<<




>>Syamimi, saya & Mera<<

>>Tambahan, Sabrina di sebelah kiri Syamimi dan Zaharah di sebelah kiri Yaya<<


>>Teman IS Muzium Negara saya, Amy<<


>>Lagi teman sekuliah saya, Farhana @ Pa'an<<


>>Konon-kononnya bunga tu Mera beri kepada Yaya dan Syamimi, hakikatnya bunga itu milik Mera... hehehe<<


Hari yang indah dan penuh bermakna buat saya dan teman-teman. Moga kita akan bertemu lagi, Insya-Allah. Saya sayang kalian. Terima kasih untuk segalanya yang kita lalui bersama.

No comments:

Post a Comment